Monday 15 August 2016

Mak Ayah



Assalamualaikum.

Bila nak berbicara soal mak ayah, bagi yang duduk berjauhan pasti akan merasa sebak. Mak ayah adalah orang pertama yang kita akan jumpa semenjak kita membuka mata di dunia ini. walaupun begitu, tidak semua insan yang dapat mengecapi nikmat ini, ada yang diuji kehilangan ibu sewaktu kecil atau lahir yatim piatu atau hanya tinggal dengan ibubapa angkat dan seumpamanya.

Siapa mak ayah
walau apa pun situasi kita, mak ayah adalah orang yang harus kita hormati dan sayangi. kerana merekalah yang menjaga kita dari kecil hinggalah meningkat dewasa. mereka meniti hari-hari tua mereka bersama hari -hari kedewasaan kita. macam-macam yang kita tidak tahu, mak ayah lah yang mengajarkan dan menunjukkan jalan. bila kita ada masalah, mak ayah lah tempat terbaik untuk mengadu dan setia mendengar.

saya sempat pulang ke Malaysia bercuti walau cuma sebulan, sempat melihat betapa besar pengorbanan mak ayah. mereka tak kisah untuk bersusah-payah kerana anak-anak. walaupun mereka mungkin tidak mendapat harta benda atau kekayaan setelah bersusah -payah untuk anak-anak. walaupun anak-anak sering tidak taat atau nakal,atau buat sesuatu yang salah, mereka tetap juga akan menyediakan kehidupan yang baik untuk anak-anak.

Nasihat saya
anak-anak, cuma satu sahaja yang mak ayah inginkan dari diri kita, menjadi anak yang soleh dan manusia yang berguna. berguna untuk agama,bangsa dan negara. tak siapa inginkan anak-anak mereka menjadi jahat atau 'sampah masyarakat'. oleh itu, bagi yang masih mempunyai mak ayah, tak kira bagaimana pun mereka, hargailah mereka. merekalah permata hidup kita. mereka juga penyebab redha Allah pada kita jika mereka redha pada kita. senangkanlah hati mereka dengan tingkah laku kita yang baik. sentiasalah buatkan mereka tersenyum.

firman Allah yang bermaksud :
“Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” . surah al-Israa: ayat 23-24


wallahuaalam




No comments:

Post a Comment