Sunday 25 November 2018

Cerpen : Berlari mendekatiNya


“ Azmi, nak tanya sikit “ ujar Imran. Mereka dalam perjalanan pulang ke bilik usai mengerjakan solat Isya’ di surau kolej.
“ apa? tanya sajalah. Tak perlu minta izin ” ada tawa kecil di hujung suara Azmi.
“ kau pernah mesej perempuan?” terluah juga. Imran memandang Azmi sekilas.
Diam.
“ haa, gelabah. Pernah la tu..” usik Imran.
“ mana kau tahu? Tak adalah. Kalau sebab kerja tu adalah”
“eleh, cakap je lah pernah. Kau mesej siapa?” soal Imran lagi.
“kau ni kenapa? Kau nak mesej siapa haa? Tak payah lah Im. Kalau setakat nak saja-saja”
Mereka sampai di bilik. Azmi terus mendekati meja belajarnya manakala Imran duduk di bucu katil.
“Azmi, kenapa tak boleh? Aku bukan buat apa pun. Cuma kawan biasa”
“ dah tak ada kawan lelaki kau nak mesej dalam dunia ni?” lontar Azmi,peluru tanpa senjata menusuk hati.Tertembak.
“ mestilah ada. Kau ni…” tapi,aku nak mesej dia jugak. Sambung Imran sendiri.
“ syaitan ni banyak perangkap Im. Allah pula tahu fitrah manusia. Dosa kecil jika dikumpul boleh jadi besar bukan? Kalau kau mesej perempuan, jangan tipu kalau takkan ada langsung apa-apa perasaan. Mesti kau akan rasa nak tengok dia, nak jumpa dia, sedangkan kau dan dia tak ada apa-apa ikatan sah pun…”
Imran diam.Cuba menghadam kata-kata  Azmi.
“ingat Im, jangan nak menangkan nafsu kau. Kita sebagai muslim, kena lawan nafsu. Ramai orang yang ikut nafsu, hidup dia musnah, tak di dunia, di akhirat nanti. Kau faham kan?” tanpa ada nada marah, lembut Azmi memberi jawapan. Dia duduk tegak di kerusi bersedia untuk study dan membiarkan Imran berfikir.
‘Hmmmh..’

***

“Sumayyah. Pernah dengar kisah sahabiah ni?” soal kak Athirah.
“ tahu! Wanita pertama yang syahid!” jawab Khalisah pantas. Alya hanya diam. Menunggu kalam dari Kak Athirah.
“Betul. Sumayyah bt Khayyat adalah wanita pertama yang syahid. Setelah diseksa dan didera beliau akhirnya dibunuh oleh Abu Jahal.Kenapa dibunuh? Kerana beliau mempertahankan aqidah. Hidup matinya hanya kerana Allah. Beliau telah diseksa sekerasnya oleh tuannya, Abu Huzaifah Al-Mughirah namun itu tidak melemahkan imannya. Beliau masih berpegang teguh pada Islam.
Allahu akbar. Beliau sebenarnya baru sahaja memeluk Islam.
Tapi, ujian dan dugaan yang mendatang tidak menggoyahkan kepercayaan beliau. Mampukah kita seteguh Sumayyah? Mungkin kita tidak setanding Sumayyah,namun kita masih mampu untuk berusaha mencontohi beliau.
Oleh itu, kuatkan lagi hubungan kita dengan Allah. Hati ini kena sentiasa menyebut nama-nama Allah, istighfar, bertasbih, supaya iman kita bertambah dan kita yakin dengan jalan ini, dengan Islam yang akan bawa kita ke arah ketenangan di dunia dan akhirat.
Kita selalu berdoa dalam tiap solat kita “ihdinas sirotol mustaqim’’ tunjukilah kami jalan yang lurus’’
Kak Athirah memandang satu-satu anak buahnya. Ada yang tunduk, ada yang mencatit, ada yang memandang kak Athirah.

“ akak, sekarang ada tak lagi muslimah macam Sumayyah? Tak goyah dengan ujian?” Alya menyoal.
“ selagi ada orang atau kumpulan yang berusaha menyebarkan Islam, mengenalkan Islam pada masyarakat, selagi itu ‘Sumayyah’ takkan hilang, kita semua boleh jadi ‘Sumayyah’. Kita kena yakin bila kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita.
Ihfazillah yahfazukum,intansurullah yansurkum”

Masing-masing terdiam. Muhasabah diri. Sumayyah. Setiap diri kita ada jiwa ‘Sumayyah’. InsyaAllah. Bulatan itu diakhiri dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr. Kemudian mereka berlima sama-sama menjamah makanan yang dibawa sambil berborak dan bercerita.

Alya sampai dibiliknya tepat jam 9.45 malam. Dia rebah di atas katil sebentar. Dia pandang Raihana. Earphone lekat di telinga sambil kepala bergoyang mengikut rentak lagu yang didengar mungkin. Buku di hadapan dan tangan memegang pen. apalah agaknya yang didengar oleh Raihana? Raihana menyedari kehadiran Alya,dia membuang earphone di sebelah kiri lalu memandang Alya.
“ baru balik? Pergi mana?”
“usrah”
“ohh…” Raihana ingin meletakkan earphonenya kembali namun sempat ditahan Alya.
“Rai, Rai dengar lagu apa?”
“adelah…hihihi” Raihana senyum nakal.
“benda baik dan buruk tak boleh campur tau. Salah satu je yang kita akan dapat. Takkan bercampur”
“hmm? Tak faham”
“ Rai baca buku. Nak tuntut ilmu. Itu benda baik. Sangat digalakkan oleh Islam. Tapi Rai dengar lagu. Lagu yang mungkin membawa kepada kelalaian. Itu satu perkara buruk. Boleh melemahkan Iman. Apa yang Rai dapat? Boleh fokus belajar?”
“hahaha. Boleh je Alya. Takyah risau. Lagipun ini kan favourite Rai…mana boleh tinggal. Boring kot study tak dengar lagu”
“tapi kan boleh tukar lagu yang mengingatkan kita dengan Allah. Macam lagu Raihan, Hijjaz, Rabbani dan banyak lagi”
Raihana mencebik. “erk, bosannya nasyid-nasyid tu. Tak best langsung. Tak pe lah Alya, kalau Alya minat dengan nasyid, Alya je lah yang dengar ye. Rai tak suka” Raihana menyambungkan earphonenya kembali. Dan menyambung study.

Alya menarik dan menghembus nafas. “huhh”. Dia mencapai handsetnya membuka mesej yang tidak sempat dibacanya petang tadi.
Ummi
Kak Athirah
Adik Zakiyyah
Imran Hafiz
Alya membuka mesej terakhir itu. Yang dihantar pada jam 11 pagi tadi.

Salam Alya. Lama tak balas mesej  Im. Kenapa? Im ada buat salah? Kalau ada  Im minta maaf. Kita kawan lagi kan?”
Huh. Ini memang berat. Bisik Alya sendiri. Dia membiarkan handsetnya di atas katil lalu dia mencapai buku kuliahnya. Dia mahu menyambung study sedikit sebelum melelapkan mata.

*

“maaf. Saya bukan tak nak balas, tapi saya rasa tak ada keperluan pun untuk kita berhubung. Saya sedar, selama ni yang kita buat walaupun niat sebagai kawan biasa, ia tetap dosa. Saya nak dekatkan diri dengan Allah. Saya nak tinggalkan benda sia-sia. Maafkan saya” Alya menaip mesej itu perlahan-lahan. Setelah itu dia tenung mesej itu lama-lama. ‘nak send ke tak? Ok ke ayat aku ni’ lama dia berfikir. Akhirnya dia delete semula mesej itu.
Alya bangun dari katil, hajatnya mahu membancuh air panas untuk jadi peneman studynya nanti. Di ruang tamu rumah sewa mereka itu, dia lihat Raihana tersenyum seorang diri bersama handset di tangannya.

 “Rai, apa yang happy sangat tu? Mesej ibu Rai ke?”
“eh alya. Taklah. Ni ustaz kelas kita tiba-tiba tegur Rai. Dia buat lawak”
“benda tak penting tak payah layan la Rai. Ada apa-apa urusan ke dia tegur Rai tu?” sambil memanaskan air, sempat Alia berbicara dengan Raihana.
“alah, takde apa pun Alia. Jangan risau la. Kawan biasa”
Alya menggeleng. ‘Susah betul kawan aku sorang ni. Ada je alasan’
Setelah Alya menyiapkan hot chocolate nya, dia duduk di meja study, bersedia untuk mengulangkaji pelajaran kuliahnya minggu ini. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Kak Athirah tempoh hari.

 “orang perempuan ni kena ada prinsip. Tak boleh sesuka hati nak layan semua orang. Dalam Islam Allah dah gariskan batas pergaulan lelaki dan perempuan. untuk menjaga kehormatan seorang wanita tu sendiri. Selain mengelakkan dari berlaku zina. Hanya pada 2 perkara sahaja lelaki dan perempuan dibenarkan berurusan iaitu kerja dan darurat. Selain tu, tak perlu layan. Sedangkan pandangan mata pun kena jaga, apalagi berurusan benda tak penting.
Allah ada sebut dalam surah An-Nur,ayat 31 : dan katakanlah pada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (dari memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka”

*

[ 2 minggu lepas]

“Alya, kenapa mutabaah ni banyak lompong? Ada tilawah qur’an tak setiap hari?” soal kak Athirah lembut bila dia lihat list mutabaah amal Alya.
Tunduk.
“ entah lah akak. Berat sangat rasa nak buat”
“Alya buat apa? sebelum study pun tak baca qur’an?”
“Alya ada masalah ke?”
“ Alya ada kenal sorang ni. Setiap malam Alya balas mesej dengan dia. Mula-mula rasa seronok, lama-lama rasa kosong. Rasa betul ke apa yang aku buat ni? Bila tengok qur’an, tak de feel nak baca, solat sunat pun jarang-jarang. Kenapa ye akak?”
“hm? Lelaki?”

Angguk.

“Alya, dalam Islam ada batas-batas ikhtilat iaitu pergaulan lelaki dan perempuan. Kenapa ia begitu dititikberatkan, sebab ianya menghampiri zina. Semua benda besar adalah bermula dari sekecil perkara. Begitu juga dengan dosa. Dosa kecil jangan kita anggap remeh. Setiap dosa yang kita lakukan akan tinggalkan satu titik hitam pada hati, kalau tak dibersihkan, apa jadi pada hati tu? Hitam kan? Jadi , sekarang Alya tahu apa yang perlu buat kan?” Kak Athirah cuba tenangkan Alya yang ketika itu sudah menangis.
“Insya-allah akak. Alya faham. Alya rasa bersalah sangat. Alya dah jauh dari Allah. Zaman sekarang ni ramai orang buat dosa tak rasa bersalah kan akak? Sebab tu iman tu penting untuk jaga kita dari kelalaian dunia ni”

*

“nampak resah je ni kenapa?” tegur  Azmi bila melihat  Imran asyik termenung.
‘dia tak balas. Menghilang macam tu je. Kelibat pun tak nampak’ jawab Imran dalam hati.
“hei, aku cakap ngan batu ke orang ni?”
“kau nak tahu ke? Nak tahu betul-betul ke main-main?”
“huh. Serius bunyinya. Ok lah aku nak tahu serius lah” Azmi mengubah posisi  duduk menunjukkan keseriusan ingin tahunya tentang masalah si Imran ni.
“aku suka kat dia. Dia wanita solehah abad ni yang aku kenal. Aku takut kehilangan dia” Imran tunduk. Rasa kecewa dan takut menghantui.
“ohh. Pasal ni ke. Tak kisah lah siapa yang kau suka tu. Tapi kalau kau belum bersedia untuk bawa dia ke arah hubungan yang lebih serius, kau jaga batas-batas pergaulan. Serahkan pada Allah, yang penting kau solehkan diri kau dulu, dan buat persiapan. Takdir ni Allah yang susun . buat apa nak risau benda yang belum tentu milik kita”
“hmm. Thanks bro. Cakap macam ada pengalaman je” sempat Imran menepuk belakang Azmi.

“hehe belajar dari pengalaman dan orang dewasa lah” Azmi tersengih. “ dia pun nak jaga diri lah tu. Kau beruntunglah dia jenis tak ajak ke arah kelalaian. Cuba bayangkan apa jadi kalau korang asyik bercinta je kan, pelajaran entah ke mana, ibadah ke laut, aku pun kau tak layan, hanyut bro, hanyut dengan angan-angan yang palsu” sempat lagi dia menambah.
“macamana nak tenangkan hati aku ni Azmi?”
“kau dekatilah Allah. Sibukkan diri dengan kerja-kerja dakwah. Pahala pun dapat. Dan elakkan bertembung dengan dia, yang penting sekali jaga pandangan kau. Ingat, dengan mengingati Allah hati kita akan ? tenang...”
Imran mengangguk.

*

Assalamualaikum. Minta maaf kiranya ini adalah satu kedatangan yang tidak diundang. Saya rasa kita perlu berhenti dari berhubung selagi tidak ada apa-apa urusan. Saya perlu fokus pada pelajaran dan mengejar cita-cita. Cahaya dan maksiat tidak mungkin akan bersatu walau manusia sering tidak nampak pada  mata kasar. Keputusan ini bukanlah sesuatu yang syadid, tapi ini adalah syariat Allah  yang perlu dilaksanakan. Wallahuaalam.

Message sent

Alya menghela nafas. Ya ini adalah keputusannya sendiri. Tiada paksaan dari sesiapa. Dia tekad mahu meninggalkan jahiliah, walau sekelilingnya masih ramai lagi orang yang belum sedar tentang dosa ikhtilat ini. Biarlah Alya menahan nafsu ini dan mendidik diri untuk lebih dekat dengan Allah. Biarlah Allah yang menilai kesabaran dan juhud ini. Sebenarnya Allah dah salurkan ke tempat yang sepatutnya  dalam mengangkat fitrah manusia yang satu ini iaitu dengan perkahwinan. Tiada ikatan selain dari itu bagi dua manusia yang ingin berkasih-sayang.

Segala kenangannya bersama Imran terus Alya buang dari hidupnya. Itu adalah mesejnya yang terakhir dan nombor itu terus dia block. Segala mesej yang sebelum ini semua Alya delete. Setelah itu, rasa tenang yang belum dirasa sebelum ini bertamu dalam hatinya. Alhamdulillah untuk kesedaran ini Ya Allah…

(8122017 dah lama sebenarnya siap cerpen ni )



No comments:

Post a Comment